Calon MB Dan TMB Baru Kelantan

Imej

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan bahawa Menteri Besar (MB) dan Timbalan Menteri Besar (TMB) baharu Kelantan ialah gabungan baharu, bukannya yang lama.

Antara calon yang dikatakan layak untuk jawatan berkenaan ialah Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Temangan) berusia 55 tahun dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud (Meranti), 58.

Menurut Takiyuddin , ada dua nama yang akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Isnin bagi mendapat perkenan.

"Mereka merupakan gabungan agamawan dan tokoh teknokrat serta boleh jadi Exco sebelum ini.

"Hendak jadi MB, TMB mesti rakyat Kelantan," katanya.

Beliau berkata, konteks di Kelantan lain dari negeri lain kerana jawatan timbalan menteri besar yang tertulis dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Sebagai contoh, di Pulau Pinang tiada dalam perlembagaan namun jawatan tersebut telah dicipta.

"Bila MB dilantik... MB akan bawa 10 nama kepada Tuanku Sultan untuk dilantik sebagai Exco. Jadi di Kelantan, TMB akan dilantik dalam kalangan salah seorang Exco itu," katanya.

Takiyuddin memberitahu, apa yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Perkara 16 yang menyatakan bahawa ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Kelantan terlebih dahulu melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pandangan Baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Apa yang dibuat oleh parti ialah mengangkat nama pada pandangan mereka yakin dan sesuai untuk Tuanku Sultan lantik sebagai menteri besar.

"Jadi esok (Isnin) sebagaimana kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tadi, beliau sendiri akan angkat nama itu kepada Tuanku Sultan.

"Saya difahamkan majlis angkat sumpah telah ditetapkan pada Selasa jam 3 petang dan proses kita ini berjalan dengan lancar," katanya.

Sebelum ini, Kelantan dilaporkan bakal mendapat Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas dan Perikatan Nasional (PN) kekal di negeri itu dalam PRN.

Keputusan perubahan kedudukan dua jawatan itu tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

MB Kelantan sebelum ini mengesahkan menghadapi masalah kesihatan menjadi punca utama beliau menolak untuk kekal sebagai Menteri Besar jika parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Sumber

Post a Comment

Previous Post Next Post