Umno Ulang komitmen sokong Anwar sebagai PM

Foto

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menyatakan bahawa UMNO kekal komited dalam menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri hingga tamat penggal selaras dengan resolusi yang dicapai dalam Pehimpunan Agung Umno bulan lepas. 

"Jadi apabila kita sokong kerajaan ini maksudnya Anwar adalah perdana menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inkubator Sukan Dron di Universiti Kebangsaan Malaysia semalam.

Ahmad Maslan berkata demikian ketika menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat Anwar kekal sebagai perdana menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka semasa pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini.

Beliau turut menyeru Ahli-Ahli Parlimen lain untuk menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah demi kestabilan politik negara. 

Menurutnya, politik negara kini sudah stabil dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan yang memperoleh sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat iaitu lebih dua pertiga majoriti.

"Sejak Pilihan Raya Umum 2004, kali ini baru kita dapat majoriti sebanyak ini," katanya.

Terdahulu, kSultan Abdullah menyambut baik permuafakatan dicapai Kerajaan Perpaduan untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar kerana dan barisan jemaah menteri.

Baginda juga meminta semua pihak berlapang dada dan menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hati yang terbuka.

- MSN


Post a Comment

Previous Post Next Post