Suami isteri maut selepas hantar anak daftar kolej

Foto via

Suami isteri maut selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka terbabas melanggar pagar sebuah premis di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu, Perak.

Dipetik Sinar Harian, kemalangan yang berlaku sekitar 5.20 petang itu melibatkan mangsa, Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43, yang merupakan penumpang belakang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu Kisdalliana, 63, pemandu kereta dan anak perempuan kepada mangsa yang meninggal dunia berusia 7 tahun dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.

Dimaklumkan bahawa suami isteri yang meninggal dunia itu baru sahaja mendaftar masuk anak mereka di Kolej Matrikulasi Perak dan keluar untuk membeli barang keperluan sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barangan yang telah dibeli.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, laporan yang diterima melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri.

"Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan kilang memproses tayar terpakai. Kenderaan berkenaan dipandu dari arah Gopeng menuju ke Kota Bharu.

"Kereta terbabit didapati berada di atas pagar dengan kedua-dua mangsa berada berhampiran kenderaan itu. Difahamkan mayat mangsa dialihkan oleh pihak bomba," katanya.

Mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber

Post a Comment

Previous Post Next Post