PN tidak tepati janji lupus hutang peneroka - Ahmad Shabery

Sumber foto

Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa tidak melaksanakan janji dalam melupuskan hutang peneroka. Dipetik Sinar Harian.

Menurut Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pada tahun 2021 kerajaan PN telah mengumumkan pelupusan hutang peneroka kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Bagaimanapun, jelasnya, Felda terpaksa berhutang RM9 bilion melalui sukuk untuk mengambil alih FGV Holdings Berhad serta membayar pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Maybank.

“Dahulu Tan Sri (Muhyiddin) semasa jadi Perdana Menteri beritahu bahawa kerajaan akan bayar RM1 bilion setahun selama 10 tahun. Sepatutnya sudah mula bayar pada tahun 2022.

“Tapi ia tidak berlaku. Buah yang ditunggu tak jatuh-jatuh,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook, pada Sabtu.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan pembohongan berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Tambun yang menuduhnya tidak melaksanakan pelupusan hutang tersebut semasa mentadbir kerajaan.

DS Ahmad Shabery turut memaklumkan, tiada perjanjian bertulis di antara kerajaan PN dengan Felda untuk membantu menyelesaikan hutang.

Tambahnya, Anwar dan Kerajaan Perpaduan telah memutuskan penyelesaian serta membuat perjanjian dengan Felda untuk menyelesaikan sukuk.

“Kerajaan Perpaduan beri komitmen bayar RM1 bilion setahun kepada Felda untuk selesaikan hutang itu.

“Alhamdulillah Felda lega dan boleh bantu lagi peneroka,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Shabery menasihati Muhyiddin agar tidak bersikap gopoh.

“Cerita jangan tak habis,” katanya.

Sumber

Post a Comment

Previous Post Next Post