Pencen veteran tentera lama di bawah garis kemiskinan

Foto via

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar menggesa kerajaan untuk meneliti semula pemberian pencen kepada veteran tentera terdahulu kerana nilainya di bawah garis kemiskinan kebangsaan. Lapor Sinar harian.

Katanya, sesiapa sahaja yang diterima memasuki tentera perlu bersedia menerima kenyataan untuk berpencen sebagai golongan kurang berkemampuan.

“Saya boleh isytihar perkara itu sebagai satu fakta. Jadi kerajaan perlu memandang perkara ini sebagai satu perkara yang serius kerana anggota tentera berkhidmat dengan menyerahkan segala kehidupan mereka kepada negara.

“Setelah apa yang dilakukan oleh mereka (tentera) membuatkan orang tertanya-tanya tentang pulangan yang boleh dinikmati dan diberikan kepada veteran ini,” ujarnya.

Beliau berkata ketika Wacana Sinar Siri 401 yang bertajuk Membela Sosioekonomi Veteran Tentera yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf .

Program itu dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua panelis lain iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Pengarah Operasi Konsortium Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel (B) Jalil Ithnin.

Sharuddin juga memaklumkan bahawa permasalahan itu membuatkan pemimpin veteran yang ada mahu membangkitkan perkara tersebut kepada kerajaan.

“Nilai pencen yang diberikan kepada veteran sebanyak RM1,020 merupakan jumlah yang sangat rendah sehinggakan mereka tidak mampu menampung perbelanjaan harian,” katanya. 

Sharuddin turut menyentuh skim perkhidmatan dengan syarat-syarat baharu bagi veteran yang memulakan tugas sebelum 2013 atau masih berkhidmat.

Jelas beliau, bekas askar yang telah tamat perkhidmatan pada tahun 2013 atau sebelum, mereka tidak dapat menikmati skim baharu tersebut.

- SH

Post a Comment

Previous Post Next Post