Iring Shahidan, sebab Shamsiah dipecat

Foto

Datuk Seri Shamsiah Yassin mengakui terkejut dengan keputusan pemecatannya dalam parti atas alasan beliau mengiringi suaminya, Datuk Seri Shahidan Kassim. Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan calon Perikatan Nasional selepas namanya tidak tercalon sebagai calon BN pada PRU15. Lapor Sinar Harian.

Keputusan parti mengatakan beliau terlibat secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau tidak turun membantu calon BN dan hanya berada di rumah.

"Saya rasa ralat sebab baru-baru ini dipanggil Lembaga Disiplin UMNO menyatakan saya sabotaj Barisan Nasional (BN). Masa hari penamaan calon saya mengiringi suami sahaja atas dasar isteri calon tidak ada rasa nak sabotaj BN.

"Dua hari lepas saya dimaklum dipecat dan saya terkejut. Saya tidak puas hati... sepatutnya lembaga disiplin panggil saya sebab surat tunjuk sebab sudah diberi pada 24 November lalu tapi tiba-tiba dipecat, tidak adil macam ini," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Taman Tembusu dekat sini pada Ahad.

Shamsiah merupakan salah seorang daripada tiga pemimpin UMNO yang dipecat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan ketiga-tiga mereka digugurkan secara automatik di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Jelas Shamsiah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi perlu menilai kembali setiap tindakan dan keputusan yang diambil sehingga menyaksikan UMNO hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen pada PRU15.

"Tidak pernah saya mahu khianat pada parti sendiri. Saya tidak faham mengapa orang yang sepatutnya diambil tindakan tidak diambil pula, terus buang orang itu, buang orang ini. Buat macam-macam dalam ucapan 'No Anwar No DAP' sekarang apa dah jadi?

"Kalau UMNO nak kembali menjadi parti yang hebat, buatlah sesuatu. Pecat orang itu, pecat orang ini apa yang dia dapat. Orang gelak sahaja," ujar beliau lagi.



Post a Comment

Previous Post Next Post