Konflik Laut Merah: Yaman berikrar lakukan tindak balas lebih ganas selepas serangan terbaru AS

 


Foto - Arab News/Reuters

Selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terbaru, Houthi Yaman mengancam akan melakukan 'tindak balas yang lebih kuat' terhadap AS sekaligus meningkatkan ketegangan di rantau itu.

Serangan terbaru berlaku sehari selepas berpuluh serangan Amerika dan Britain ke atas kemudahan Houthi di Yaman.

Jurucakap Houthi berkata, serangan itu tidak memberi kesan serius terhadap keupayaan mereka untuk menyekat sekutu israel melalui Laut Merah.

Utusan khas PBB, Hans Grundberg memberi amaran tentang keadaan yang tidak menentu di rantau itu. Menurutnya, usaha damai sedang diusahakan PBB namun, tindakan susulan itu mungkin memburukkan lagi keadaan yang sememangnya sukar. 

Pengantara antarabangsa bimbang bahawa serangan AS ke atas wilayah yang dikuasai Houthi akan mendorong militia Yaman untuk meninggalkan rundingan damai yang diusahakan PBB dan memulakan operasi bersenjata di seluruh negara.

Sabtu lalu, kapal pemusnah tentera laut USS Carney melepaskan peluru berpandu ke arah lokasi radar Houthi di Yaman kira-kira 3.45 pagi 13 Januari namun tidak menamakan tapak sasaran yang bertujuan untuk memberi amaran kepada Houthi Yaman yang menghalang lalu lintas kapal-kapal di laluan laut itu.

Houthi memaklumkan bahawa serangan pada hari Sabtu itu menyerang pangkalan udara Al-Dailami di utara Sanaa.

Menurut Houthi, serangan itu sengaja direka untuk memaksa mereka menghentikan sokongan terhadap rakyat Palestin sambil menyifatkan serangan itu sebagai "pencerobohan terang-terangan". 

Pada Jumaat lalu, AS dan UK telah melancarkan serangan lebih 60 sasaran di Sanaa, Hodeidah, Taiz, Saada, Hajjah dan Dhamar kononnya sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Houthi dan serangan dron ke atas kapal komersial dan tentera laut di Laut Merah.

Houthi turut menuduh AS sebenarnya cuba memaksa mereka menghentikan serangan terhadap kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan israel yang menuju ke israel yang mana serangan Houthi itu adalah bertujuan untuk memaksa israel mengurangkan sekatan terhadap Gaza. 

Dalam pada itu, Joe Biden memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa AS telah menyampaikan mesej kepada Iran tentang Houthi dan secara peribadi AS yakin dan bersedia. - Arab News



Post a Comment

Previous Post Next Post