Pelajar Tingkatan 3 maut dilanggar ketika pulang dari sekolah

 



Dilaporkan bahawa seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas di Jalan Penyabong, Endau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani dalam kenyataannya berkata, kejadian yang berlaku pukul 3.45 petang itu, mangsa Syuhada Zafirah Samin, dipercayai baru pulang dari sekolah dengan menaiki bas.

"Hasil siasatan mendapati pemandu lelaki Toyota Hilux itu sedang dalam perjalanan dari arah Penyabong ke Endau di sini dan cuaca ketika itu hujan gerimis.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan pemandu Toyota Hilux itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan, pada pukul 10.24 malam tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

-- Foto - Atas

Post a Comment

Previous Post Next Post