Nazri Aziz: Saya tidak perlukan gaji

Foto

Duta Malaysia yang baru dilantik ke Amerika Syarikat Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau bersedia berkhidmat sebagai duta tanpa menerima sebarang gaji.

Bekas anggota parlimen Padang Rengas itu berkata beliau tidak memerlukan gaji daripada pelantikannya sebagai duta dan wang itu bukan keutamaannya.

Nazri, yang merupakan bekas menteri pelancongan dan kebudayaan dari 2013 hingga 2018, bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menolak jika kerajaan memutuskan untuk membayarnya gaji bagi peranannya sebagai duta Malaysia.

“Saya terima jawatan itu bukan kerana wang. Sama seperti perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya tidak perlukan gaji (dari pelantikan sebagai duta).

“Mungkin, saya dilantik ke jawatan itu memandangkan ada tugas tertentu yang boleh saya laksanakan (bagi pihak kerajaan).

"Saya akan ambil jika kerajaan mahu memberikan saya gaji. Saya bukan lagi ahli politik. Wang bukan matlamat saya," katanya dipetik dalam wawancara itu.

Nazri berkata, beliau percaya dilantik ke jawatan itu memandangkan kerajaan merasakan dirinya mampu dan masih boleh menyumbang kepada kemajuan negara.

Wisma Putra, dalam satu kenyataan minggu lalu, mengumumkan bahawa Nazri telah dipersembahkan surat tauliah oleh Yang di Pertuan Agong bersama sembilan lagi ketua perwakilan diplomatik baharu.

Mereka telah disampaikan watikah pelantikan mereka dalam satu istiadat di Istana Negara pada 9 Feb. -NST


Post a Comment

Previous Post Next Post