Bantahan Amzad terhadap petisyen pilihan raya calon BN ditolak mahkamah

Foto MSN

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Kuala Terengganu Amzad Hashim terhadap petisyen yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Petisyen pilihan raya tersebut difailkan oleh calon BN Mohd Zubir Embong.

Hakim membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian selepas mempertimbangkan hujahan daripada kedua-dua pihak pada 30 Jan lepas dan juga hujahan bertulis.

Mahkamah menetapkan 20 hari untuk perbicaraan petisyen itu bermula 3 April. 

Amzad pula diwakili barisan peguam Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal.

Mohd Zubir yang merupakan pempetisyen pula diwakili Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Amin Othman, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Haiyan.

Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Parlimen Kuala Terengganu pada 3 Jan lepas.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa. 

Pada PRU15 lepas, Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang PAS apabila Amzad memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.

- MN


Post a Comment

Previous Post Next Post