Wanita maut dikelar, samun

Foto

Seorang wanita dikelar selepas disamun di hadapan sebuah bangunan terbiar di Kampung Titingan, pada Khamis.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7 malam di mana terdapat seorang mangsa terbaring dengan berlumuran darah dan seorang budak kecil dipercayai anaknya sedang menangis di sisinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam.

Siasatan awal mendapati mangsa ukan warga tempatan berusia 30 tahun bersama seorang anak kecilnya berusia satu tahun dipercayai dalam perjalanan ke rumah kakaknya yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah sewanya di Kampung Titingan.

"Sebaik tiba di lorong yang gelap, mangsa dipercayai disamun dan mangsa cuba melawan. Rantai leher serta subang dipakainya hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya , terdapat kecederaan pada leher mangsa dipercayai dikelar menggunakan pisau atau objek tajam.

"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan termasuk mengesan suspek dalam kejadian itu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh memaklumkan kepada bilik gerakan IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya," katanya

Champin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 24 dan 17 saat memaparkan kanak-kanak perempuan menangis di sisi mayat wanita terbabit yang terbaring dengan berlumuran darah.

SH

Post a Comment

Previous Post Next Post