Banjir: Peruntukan RM12 Juta Atasi Masalah Banjir Termenung, Penduduk Ucap Terima Kasih

Foto

Keputusan kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung yang menimpa di daerah ini disambut baik.

"Terima kasih Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawakan khabar gembira kepada kami.

"Diharap isu banjir termenung dapat diselesaikan dengan kadar segera," demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang (JKBRP), Norhisham Abdullah kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, dengan adanya pam air diharapkan dapat meredakan kemarahan serta penat lelah mereka yang terpaksa berdepan banjir termenung lebih seminggu setiap kali hujan lebat.

Norhisham juga berharap kerajaan dapat melihat dari sudut aspek lain seperti menambah bilangan pembentung bagi memudahkan aliran air ke Sungai Golok.

"Setakat ini baru ada empat pembentung dan pada November lalu kami ada membuat laporan polis mendesak pintu air dibuka dalam tempoh 24 jam bagi mengatasi masalah banjir termenung.

"Alhamdulillah apabila ia dibuka, banjir kali ini air naik tidak mendadak seperti sebelumnya," katanya.

Menurut dia, diharapkan masalah banjir termenung dapat diselesaikan segera agar penduduk di kawasan ini dapat menikmati kehidupan dengan tenang.

Tambah Norhisham, mereka sukar untuk tidak tidur lena malah sering trauma apabila hujan lebat.

"Diharap Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan isu ini dan doa kami dimakbulkan," katanya.

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung yang melanda di kawasan Rantau Panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu melibatkan pembelian pam berkuasa tinggi untuk menyedut keluar air dari kawasan yang terkesan dengan banjir termenung.

"Kita akan tempatkan di enam lokasi yang telah dikenal pasti bagi mengatasi masalah ini," katanya semasa mengadakan lawatan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.


Post a Comment

Previous Post Next Post