SST: Cukai jualan dan perkhidmatan 8% berkuatkuasa 1 Mac 2024

 

IMEJ VIA

Kerajaan secara rasminya telah melaksanakan kenaikan kadar cukai SST sebanyak 8% berbanding 6% sebelumnya. Peningkatan kadar SST telah diumumkan kerajaan pada Pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu dalam usaha untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara. 

Kadar baru ini tidak termasuk perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman, perkhidmatan telekomunikasi dan perkhidmatan penyediaan tempat letak kenderaan atau perkhidmatan logistik. 

Berkenaan dengan bil air dan elektrik, kadar 8% akan dikenakan bagi penggunaan 600 kWj ke atas (Rujuk di sini). Walaupun yang terkesan dengan kenaikan ini ialah golong berpendapatan tinggi namun, ia tetap menjadi tanda tanya sebahagian besar pengguna berkenaan dengan kadar cukai yang akan dikenakan. 

Semakan kos penghantaran di laman web atau aplikasi e-dagang

Hasil semakan untuk kos penghantaran di Shopee, kadar kos penghantaran paling minimum sebanyak RM4.90 sebelum ini telah meningkat kepada RM5.19. Tidak dapat dipastikan kenaikan itu ada kaitan dengan kadar SST 8% atau sebaliknya. Apapun, untuk mengelakkan caj kos penghantaran, pembeli boleh terus menggunakan voucher free shipping untuk mengelakkan kadar kenaikan kos penghantaran di Shopee. 

Di Lazada dan TikTok Shop pula, kos penghantaran masih kekal dengan RM4.90.

Harga Barang di Laman Web/Aplikasi E-Dagang

Seperti yang dinyatakan di atas, hanya Shopee yang menunjukkan peningkatan kos penghantaran. Namun, bagaimana dengan harga jualan? Harga jualan sama ada di Shopee, Lazada, TikTok Shop atau yang seumpama dengannya dijangkakan akan mengalami kenaikan. Ini disebabkan oleh caj komisyen yang dikenakan terhadap para penjual yang menggunakan platform perniagaan dalam talian itu. 

Penjual pula akan menggunakan alasan kenaikan komisyen yang dikenakan oleh platform berkenaan untuk menaikkan harga jualan.

Dari situ, adakalanya pembeli mungkin tidak sedar bahawa terdapat harga barang yang dinaikkan kerana kos untuk penghantaran tidak dikenakan cukai. 

Namun, bagi pembeli yang selalu membuat pembelian atau selalu membuat perbandingan harga dalam talian, pasti akan menyedari bahawa ada barang yang telah dinaikkan harga disebabkan cukai baru.

Pengumuman Kenaikan Caj Oleh Agensi Berkaitan Berikutan Kenaikan Kadar Cukai SST

Kemaskini yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia Berhad pula menunjukkan semua produk mel kekal pada kadar 0% SST dan penghantaran antarabangsa juga menunjukkan tiada perubahan atau tiada caj SST dikenakan. 

Pos Laju (Kurier) bawah 30 kg kekal pada kadar 6% atau tiada perubahan, manakala Pos Laju (Kurier) melebihi 30 kg, bungkusan laut domestik dan penghantaran motosikal akan dikenakan caj SST 6% serta merta. (Rujuk Pos Malaysia)



TNB melalui TNB Careline juga mengumumkan kadar kenaikan SST 6% kepada 8% berkuatkuasa 1 Mac 2024. Dalam pengumuman itu, kadar baru itu hanya akan dikenakan ke atas pelanggan domestik (Tarif A) dengan penggunaan elektrik melebihi 600 kWj dalam tempoh pengebilan 28 hari atau lebih; atau jika tempoh pengebilan kurang daripada 28 hari, Cukai Perkhidmatan akan dikenakan atas keseluruhan penggunaan elektrik. (Rujuk FB TNB Careline)


Unifi dalam pengumumannya, kadar cukai SST 6% kekal untuk perkhidmatan Telekomunikasi seperti Unifi Fixed Line, Unifi Broadband dan Unifi Mobile. Untuk langganan Unifi TV yang termasuk dengan Perkhidmatan Telekomunikasi, kadar cukai juga masih kekal 6%.

Kadar baru 8% hanya dikenakan terhadap Teknologi Maklumat dan Perkhidmatan Digital seperti langganan Unifi TV (Langganan berasingan dengan Unifi Internet), Perkhidmatan Cloud (Cloud Services), Digital Marketing Solution dan Perkhidmatan Keselamatan (Security Services). (Rujuk)
 




Kebimbangan Terhadap Kenaikan Kadar Cukai

Kenaikan kadar cukai SST kepada 8% yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2024 telah menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat di seluruh negara mengenai kenaikan harga barang jualan dan perkhidmatan yang mungkin akan memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Apatah lagi, kadar baru SST dilaksanakan betul-betul kurang 2 minggu sebelum kedatangan bulan Ramadhan dan bulan Syawal.

Harga jualan makanan dan minuman di bazar-bazar Ramadhan seluruh negara dijangka akan meningkat sekaligus menimbulkan kerisauan rakyat terutamanya yang bekerja di luar yang tidak mempunyai masa untuk memasak di rumah atau yang mempunyai ahli keluarga yang ramai. 

Keadaan ini juga pasti akan mengheret rakyat berada di dalam dilema kerana jika membeli makanan yang sudah siap dimasak, pasti akan ada kenaikan harga dan sekiranya memasak di rumah pula, harga barangan mentah atau barangan runcit pun akan ada kenaikan. Mahu tidak mahu, rakyat terpaksa memilih salah satu yang mana lebih baik dan menjimatkan.

Mana yang lebih baik sebenarnya? GST 6% atau SST 8%

Apabila perkara ini berlaku, sudah pasti rakyat akan kembali mengimbau kadar GST 6% yang pernah dilaksanakan ketika zaman pemerintahan DS Najib Razak. Malah, ada yang rindu dan baru faham apa yang berlaku sebenarnya. 

Pada ketika itu, hampir sebahagian besar rakyat Malaysia begitu marah dengan kadar GST yang dikenakan oleh kerajaan pada ketika itu sehingga 'kononnya' rakyat mula bangkit mengadakan perhimpunan besar-besaran yang mengutuk pelaksanaan cukai itu yang dikatakan sangat tinggi dan membebankan. 

Namun, kini perkara sebaliknya yang berlaku. Kadar cukai bukan semakin berkurang malah semakin tinggi. Tidak tahulah jika jumlah 8% ini sebenarnya lebih rendah berbanding 6%. 

Bak sindiran DS Najib Razak (rujuk) di Facebooknya,

"Dunia: 0,1,2,3,4,5,6,7,8,9
Malaysia: 0,1,2,3,4,5,8,7,6,9"

- zizyyusoff

* Sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/tambahan terhadap artikel di atas, boleh terus maklumkan di sini

  • SST: Sales & Services Tax
  • GST: Goods & Services Tax
  • IMEJ ATAS: FREEPIK







Post a Comment

Previous Post Next Post