Banjir: Kelantan memulih, Sabah pula terjejas

 

Foto - Awani

Kelantan hari ini menunjukkan keadaan banjir yang semakin memulih dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 3,230 orang berbanding 3,240 orang sebelumnya. Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka bagi menempatkan sekitar 990 buah keluarga.

PPS yang terlibat ialah SK Gual Tinggi, SK Gual To'Deh, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang dan SMK (A) Pohon Buluh.

Sabah pula menjadi negeri terbaru yang terjejas akibat banjir dengan 17 orang daripada 4 keluarga dipindahkan ke PPS SK Kampung Pertanian, Batu 25 Sandakan. 

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, banjir berlaku akibat hujan lebat di kawasan berkenaan pada petang semalam (20 Disember 2023).

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa ribut petir akan berlaku di dua ke tiga lokasi di negeri tiu pada tengah hari.

Keadaan di Perak dan Selangor pula tiada perubahan di mana masing-masing kekal 64 orang dan 25 orang mangsa yang masih berada di PPS di negeri masing-masing. Kawasan yang terjejas akibat banjir di Perak ialah daerah Hilir Perak iaitu Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Nelakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra.

Keadaan paras air sungai di Sungai Bidor Changkat Jong pula mencatatkan bacaan 3.55 meter yang dikategorikan sebagai paras bahaya. Hujan diramalkan akan berlaku di sebelah petang dan malam.


Post a Comment

Previous Post Next Post