Politik: Idea gabungan Muhyiddin-DS Najib tidak akan berlaku

Foto - FMT

Cadangan gabungan 2 bekas perdana menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin dan DS Najib Razak, telah mencetuskan perbincangan dan spekulasi di kalangan pemimpin politik Malaysia. Dilaporkan bahawa, terdapat pemimpin Umno telah menyuarakan pendapatnya terhadap idea gabungan ini, yang disifatkan sebagai terlalu banyak kisah buruk telah berlaku di antara kedua-dua pemimpin ini. 

Gabungan semula antara Muhyiddin Yassin dan DS Najib Razak telah menjadi tumpuan perbincangan di kalangan pemimpin Umno. Menurut FMT yang dihubungi dua pemimpin UMNO itu memberi gambaran bahawa tiada gabungan semula sedang berlangsung antara kedua-duanya.

Seorang pemimpin UMNO menyifatkan pertemuan ini sebagai percubaan Bersatu untuk meningkatkan populariti politik mereka. Dia menganggap bahawa Bersatu semakin hilang sokongan kerana beberapa ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim. Mereka nampaknya cuba meyakinkan sokongan dari PAS, dengan cara menggembar-gemburkan kemungkinan adanya gabungan semula antara Muhyiddin dan DS Najib.

Satu perkara yang penting ditekankan adalah populariti Najib dalam kalangan ahli Umno dan pemimpin PAS. Walaupun Najib telah dipenjarakan, dia masih dianggap sebagai tokoh yang popular di dalam kalangan kedua-dua parti itu. Pemimpin PAS pernah mempunyai hubungan yang baik dengan Najib, yang mungkin menjelaskan mengapa mereka tidak mempunyai masalah dengan pertemuan ini.

Seorang lagi pemimpin UMNO turut berkongsi pandangan yang sama, dengan mengatakan bahawa ada beberapa di kalangan Bersatu cuba mencipta persepsi seolah-olah DS Najib terbuka untuk bekerjasama dengan mereka. DS Najib mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dalam Umno, dan pemimpin Bersatu mungkin cuba memberi tamparan kepada UMNO dengan tindakan ini.

Namun, terdapat rasa tidak senang di kalangan penyokong DS Najib bahawa beliau masih tidak mendapat keadilan yang menjadi salah satu punca mengapa prestasi Umno tidak begitu baik dalam pilihanraya baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, sumber itu menyatakan bahawa dia tidak dapat meramalkan sama ada pertemuan semula antara Najib dan Muhyiddin akan berlaku. Sejarah pertelingkahan mereka pada tahun 2015 yang membawa kepada pemecatan Muhyiddin masih segar dalam ingatan dan ini menjadi penyebab mengapa gabungan itu adalah mustahil.

Muhyiddin mendakwa dia dipecat kerana sentuh soal 1MDB, sementara DS Najib mengatakan Muhyiddin dipecat kerana bersubahat menentangnya dengan Dr. Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir sejak 2014. - FMT




Post a Comment

Previous Post Next Post