Ancam bom sekolah: 19 laporan diterima

 

Foto - NSTP

Email ancaman bom yang dihantar ke 19 Sekolah di Malaysia semalam (21 November) didakwa juga telah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica awal bulan Ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyatakan bahawa polis menerima laporan ancaman bom dari sekolah-sekolah kerajaan, sekolah antarabangsa, dan sekolah swasta di enam negeri dan Kuala Lumpur.

Tujuh laporan telah dibuat di Selangor, lima di Kuala Lumpur, tiga di Johor, dua di Pulau Pinang, satu di Perak, dan satu di Negeri Sembilan.

Pihak polis dan pengurusan sekolah dengan serta-merta mengarahkan evakuasi sekolah-sekolah setelah menerima ancaman tersebut. 

Untungnya, tiada peranti letupan ditemui di sekolah-sekolah tersebut dan ancaman itu dianggap sebagai gertakan. Namun, kelas-kelas terpaksa dihentikan untuk sepanjang hari.

Menurut laporan, pihak polis mendapati bahawa dua alamat emel yang digunakan oleh pengirim itu baru dicipta dan tidak pernah digunakan untuk perkhidmatan internet lain.

Polis juga mendapati bahawa ancaman tersebut telah diterjemahkan dari bahasa inggeris ke bahasa melayu dan sama seperti emel yang dihantar kepada sekolah-sekolah di Jamaica pada 12 November menggunakan penyedia perkhidmatan emel yang sama.

Akaun emel yang didakwa - takstorer - bermaksud "pengacau ketenangan" dalam Bahasa Jerman.

Razarudin menyatakan bahawa pihak polis sedang menyiasat sama ada ancaman yang dibuat kepada sekolah-sekolah di Malaysia berkaitan dengan kes di Jamaica.

Kes di Jamaica didakwa melibatkan seorang individu yang mendakwa telah mengalami penderaan semasa kanak-kanak dan kekurangan perhatian.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan untuk melakukan ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk penyalahgunaan fasiliti rangkaian. - NSTP



Post a Comment

Previous Post Next Post