DS Najib, Arul Kanda lepas, bebas pertuduhan laporan audit 1MDB

Foto

Mahkamah Tinggi di sini, melepaskan dan membebaskan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, tujuh tahun lalu terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy 

Keputusan iti dibuat oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Rayuan di Putrajaya, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan itu yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang telah meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Pihak pembelaan pula oleh peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bagi pihak Najib, sementara Datuk N. Sivananthan untuk Arul Kanda.

Pada 7 September lalu, pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula hari pertama pembukaan perbicaraan kes pada 18 November 2019.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 24 Jun lalu. 

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, antara saksi yang dipanggil. 

Pada 12 Disember 2018, DS Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen. 

Pada 14 Mac 2019, kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini.

Mengikut pertuduhan, DS Najib didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Dakwaan terhadap bekas perdana menteri itu yang mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum dimuktamadkan semula yang seterusnya dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana DS Najib secara langsung mempunyai kepentingan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Lapor Kosmo. 

Post a Comment

Previous Post Next Post