PM Anwar mengingatkan pemimpin supaya tidak membebankan rakyat

Foto

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengingatkan pemimpin supaya tidak meminggirkan atau membebankan rakyat selepas mendapat kuasa.

Beliau berkata rakyat seharusnya menikmati nikmat negara ini, dan tidak terjebak dalam drama pergaduhan antara pemimpin termasuk ahli politik.

“Yang penting negara kita kena selamat, bila saya kata Malaysia kena selamat (ini untuk Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan) bukan untuk golongan atasan.

“Negara ini kaya, banyak sumber, tetapi kenapa yang kaya (kekal) kaya dan ramai yang miskin, kerana wang yang ada, seperti kontrak dan projek, (ada) terlalu banyak ketirisan,” katanya ketika menghadiri majlis sambutan Ponggal 2023 parlimen Tambun, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut sempat berpesan sambil menyanyikan beberapa lirik lagu berjudul "Naan Aaniryrtal" oleh M. G. Ramachandran, mengenai kuasa dan rakyat.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia perlu berubah untuk menarik pelabur, yang seterusnya memberi manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

“Untuk negara ini, saya wujudkan konsep Masyarakat Madani, kerana ia adalah usaha rakyat biasa untuk memajukan negara kita.

"Dalam sebulan setengah yang lalu, saya telah melihat minat pelabur asing dari China, India, Amerika Syarikat, dan Eropah... ini untuk menyelamatkan rakyat dengan mewujudkan pekerjaan dan pendapatan yang baik. Jika tiada perubahan maka kita akan menghadapi masalah besar," katanya.

Perdana Menteri dijadual menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Lost World of Tambun, sebelum merasmikan pusat khidmat parlimen Tambun di Meru petang ini. - BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post