Anwar kata sudah nasihat, terpulang pada pimpinan Sabah

 

Foto

Menurut Anwar Ibrahim, ia bergantung kepada pimpinan Sabah untuk membuat keputusan selepas nasihat diberikan kepada mereka susulan kemelut politik yang tercetus.

Katanya, keadaan kini bertambah baik selepas beliau dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menemui pemimpin Sabah malam ini.

“Keadaan bertambah baik, saya dan Zahid cari formula baik untuk Sabah dan keputusannya diputuskan oleh pimpinan Sabah sendiri…sebenarnya kita cuma datang memberi nasihat,” katanya.

Anwar tiba di sebuah hotel di sini pada 10.10 malam tadi selepas lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Beliau mengadakan rundingan dengan pemimpin Barisan Nasional dan Warisan, susulan cubaan gagal menggulingkan Hajiji Noor minggu lalu selepas ADUN Umno Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

Hajiji semalam mengumumkan beliau memiliki 44 daripada 79 ADUN untuk terus menerajui Sabah, menerusi akuan bersumpah yang diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin kelmarin.

Difahamkan, Anwar ke sana untuk menghadiri pertemuan dengan Zahid, yang mengadakan rundingan dengan pemimpin BN-Umno Sabah terlebih dahulu.

Pertemuan dengan pemimpin politik tertinggi itu menyusul beberapa hari selepas khabar angin Umno Sabah dan Warisan berusaha membentuk kerajaan negeri baharu selepas menggulingkan Hajiji.

Post a Comment

Previous Post Next Post