Tanah Runtuh: Pahang arah tutup semua tapak khemah berhampiran sungai, lokasi berisiko

Foto

Semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko di Pahang diarah tutup berkuat kuasa serta-merta.

Menueut Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam satu kenyataan, keputusan itu dibuat susulan ramalan hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang monsun timur laut (MTL). Dalam masa yang sama, mengambil iktibar kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi semalam.

“Penutupan ini melibatkan semua tapak perkhemahan yang diuruskan JPNP dan operator swasta seperti di Taman Eko-Rimba Lubuk Yu, Maran dan Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands.

“Sepanjang musim tengkujuh ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya di Facebook.

Laporan media semalam melaporkan 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di Batang Kali disahkan meninggal dunia setakat malam tadi manakala 12 lagi mangsa masih belum ditemukan.

Insiden sekitar jam 2.42 pagi itu, melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Operasi mencari dan menyelamat giat dilakukan sejak awal pagi semalam, melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm).

FMT

Post a Comment

Previous Post Next Post