IMEJ; TRTWorld |
Serangan tanpa belas yang terus menerus dilakukan oleh Israel terhadap Gaza secara terang-terangan telah menimbulkan kemarahan seluruh dunia, termasuk Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut menggesa pemimpin dunia mendesak supaya genjatan senjata dilakukan segera. Dalam masa yang sama, menyeru supaya laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka secara kekal.
Baginda bertitah, pemimpin dunia diseru untuk memberi tekanan supaya kekejaman terhadap rakyat Palestin segera dihentikan.
"Kita tidak boleh membiarkan pengebomam berterusan..kita mesti secara kolektif menyeru agar permusuhan dihentikan segera. Saya berdiri di sini, untuk menyertai gesaan yang semakin meningkat untuk genjatan senjata segera dan merayu kepada pemimpin dunia untuk memberi tekanan ke arah usaha menamatkan kegilaan ini."
"Saya berdiri di sini bukan sahaja sebagai seorang Raja Permaisuri Agong, tetapi sebagai seorang ibu, bersama anak-anak saya yang amat saya sayangi... Saya berdiri di sini sebagai seorang manusia dan kita mesti bersuara dan berkata "Berhenti, dan cukup-cukuplah!"
"Saya berang dengan pencabulan hak asasi manusia yang serius ini, saya tidak boleh berdiam diri lagi... Saya bimbang untuk rakyat Gaza, demi keselamatan kanak-kanak, saya bimbang atas dasar kemanusiaan kita," titah Tunku Azizah ketika menyampaikan Titah DiRaja pada sidang kemuncak "United for Peace in Palestine: There is No Loss in Peace", di Istanbul, Turki yang disertai oleh pasangan pemimpin dari pelbagai negara dan dihoskan oleh Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan .
Titahnya lagi, sejak konflik yang semakin meruncing, pelbagai bangsa dan agama dari seluruh dunia telah menggesa pemimpin mereka untuk menyokong usaha ke arah genjatan senjata.
"Mereka ini dari semua lapisan masyarakat, mengamalkan agama yang berbeza, dan bercakap bahasa yang berbeza tetapi mereka bercakap dalam satu suara - untuk menyeru kepada keamanan. untuk hidup dalam harmoni dan menghormati antara satu sama lain," titahnya.
Baginda menzahirkan rasa dukacita dengan keadaan yang berlaku di Gaza. Katanya, rakyat Palestin berhak untuk hidup dengan aman dan bimbang dengan keadaan situasi di sana.
“Mereka telah dinafikan dan disekat daripada menjalani kehidupan kanak-kanak dan keluarga yang normal. Ini sememangnya satu pencabulan secara serius terhadap hak asasi manusia...hak untuk menikmati kehidupan normal dan sempurna,” titah Tunku Azizah.
Menurut baginda lagi, peperangan membawa kepada kesakitan dan rakyat berhak untuk hidup dengan aman. Adalah menjadi kewajipan untuk mendesak agar semua permusuhan dihentikan segera.
“Setiap negara yang menghadapi peperangan, kesusahan, dan konflik sekarang ini berhak untuk hidup dengan aman, saya dengan rendah hati bercakap mewakili setiap daripada mereka dan sebagai seorang Muslim, saya ingin mengingatkan anda bahawa menjadi kewajipan kita sebagai manusia untuk menuntut agar pengakhiran kepada semua permusuhan, sebagaimana kerap diingatkan bahawa, 'perang membawa kesakitan, bukan keuntungan', jadi marilah kita pilih keamanan demi hidup makmur," titah baginda.
Sementara itu, Pasangan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan serta wakil negara pada sidang kemuncak itu dengan sebulat suara dan bertegas bahawa mereka menolak sebarang percubaan untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah air mereka sendiri.
Dalam kenyataan itu, semua pihak wajib bertindak mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, serta melihat kesan yang besar akibat perpindahan semasa konflik terhadap wanita, kanak-kanak dan warga tua.
Sidang itu turut menggesa seluruh dunia bertindak segera dan secara kolektif untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Palestin.
“Kami menyeru agar serangan Israel dihentikan serta-merta yang menyasarkan semua penempatan awam di Gaza, termasuk sekolah, hospital dan kemudahan perubatan lain, kem pelarian, kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tempat ibadat.
“Dalam hal ini, gencatan senjata segera yang akan menamatkan permusuhan dan pemberian bantuan kemanusiaan tanpa halangan, mencukupi dan selamat kepada orang awam di Gaza adalah amat diperlukan,” menurut kenyataan bersama itu.
Israel dengan kejam telah melancarkan serangan udara dan darat bertubi-tubi tanpa belas ke atas Gaza dan telah mengorbankan lebih 11,000 nyawa rakyat Palestin. - BERNAMA
Post a Comment