7 Aktiviti Riadah Untuk Memenuhi Masa Lapang Anda


Masa lapang merupakan waktu yang sangat berharga yang dapat diisi dengan pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan. Aktiviti riadah bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan, tetapi juga meningkatkan kesihatan fizikal, serta memberi kegembiraan kepada kehidupan seharian kita. Lebih menyeronokkan lagi jika aktiviti masa lapang dapat dilakukan bersama keluarga tercinta atau bersama rakan-rakan.

Berikut ialah beberapa aktiviti riadah yang anda boleh lakukan:

1. Berjalan Kaki atau Berlari


Berjalan kaki atau berlari adalah cara yang sangat baik untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental anda sambil menghirup udara segar. Aktiviti berjalan adalah aktiviti santai yang tidak memerlukan anda untuk menggunakan tenaga yang banyak atau menyediakan kelengkapan tertentu sebaliknya, anda hanya perlu meluangkan sedikit masa untuk berjalan-jalan atau bersiar-siar sambil menghirup udara segar. 

Sama ada berjalan kaki atau berlari, pilihlah aktivti yang sesuai dengan keselesaan anda. Cari kawasan yang sesuai seperti taman bandar, pantai, atau berjalan di kawasan kediaman anda sendiri. Anda juga boleh lakukan aktiviti berjalan atau berlari ketika bercuti di tempat-tempat menarik sama ada di dalam atau di luar negara. 

Pilih waktu yang sesuai untuk anda sama ada awal pagi, sebelah petang atau pada waktu malam selepas jam 9.00 malam.

Foto: Freepik

2. Mendaki

Foto: Freepik

Mendaki adalah salah satu aktiviti riadah yang mencabar. Bagaimana pun, mendaki adalah cara yang menarik untuk dicuba untuk menikmati keindahan alam semula jadi serta menikmati pemandangan yang cantik. 

Namun, sebelum mendaki pastikan yang anda sudah membuat persediaan yang baik termasuk persiapan fizikal dan mental, mengetahui selok belok trek mendaki, memastikan sentiasa dapat berkomunikasi dan yang paling penting mematuhi peraturan keselamatan telah ditetapkan. Selain itu, pastikan juga terdapat ramai orang di sekitar kawasan berkenaan supaya jika berlaku kecemasan, anda boleh dapatkan pertolongan daripada orang berada di kawasan berdekatan.

3. Berbasikal


Aktiviti berbasikal sama seperti berjalan kaki atau berlari yang mana anda boleh lakukan secara santai sambil menikmati keindahan alam sekitar tidakkira sama ada secara bersendirian, bersama keluarga atau bersama rakan-rakan. Pilihlan lokasi yang sesuai untuk berbasikal seperti di kawasan taman perumahan, di taman bandar, kawasan berbukit atau cari lokasi percutian menarik yang sesuai untuk anda lakukan aktiviti berbasikal. Contohnya di Taman Botani di Putrajaya, Desa Parkcity Central Park di KL, Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) di Kepong, Bukit Cerakah di Shah Alam dan banyak lagi tempat menarik. 

Apa yang penting anda mestilah sentiasa mematuhi laluan yang disediakan dan tidak mengganggu pengguna yang lain. 

Juga, jangan lupa mengutamakan keselamatan dengan memakai topi keledar yang khas untuk berbasikal, memakai pad siku dan memakai pelindung lutut. 

Foto: Freepik

4. Bersukan


Selain berbasikal, anda boleh melakukan aktiviti bersukan seperti bermain tenis, bermain badminton atau bermain futsal bersama rakan-rakan atau bersama keluarga. Aktiviti sukan sebenarnya membolehkan anda untuk bersaing dengan rakan-rakan atau keluarga sambil menyihatkan tubuh badan. 

Pilihlah lokasi yang selesa dan terbuka. Lokasi bersukan yang tertutup agak kurang menarik dan mungkin tidak dapat membantu anda untuk melepaskan tekanan. Carilah aktiviti sukan yang sesuai dilakukan di tempat-tempat terbuka seperti bermain bola sepak pantai, bola tampar pantai, bermain tenis, memanah dan sebagainya supaya anda dapat menikmati suasana persekitaran sambil bersukan.

Foto: Freepik

5. Memancing


Bukan semua orang gemar dengan aktiviti memancing. Aktiviti memancing selalu dipandang serong atau dikatakan sebagai salah satu aktiviti yang membuang masa. Tetapi, memancing sebenarnya merupakan hobi yang boleh menenangkan fikiran dan memberi peluang kepada anda untuk melepaskan tekanan. Antaranya, memberi ketenangan dan melatih kesabaran, bersosial dan berkumpul yang mungkin dapat berjumpa dengan rakan baru, bersatu dengan alam seperti menikmati keindahan sungai, tasik atau laut dan melatih diri untuk fokus bagi merehatkan minda dan mengurangkan tekanan semasa di tempat kerja.

Salah satu keseronokan yang mungkin sukar untuk diceritakan ialah perasaan apabila berjaya menangkap ikan. Tidak kiralah berapa besar saiznya dan itu juga salah satu sebab mengapa ada yang sangat gemar pergi memancing. 

Melakukan aktiviti memancing tidak semestinya sampai perlu pergi ke lokasi yang jauh dari orang ramai yang mungkin terdedah kepada bahaya dan berisiko. Sebaliknya, anda boleh memilih untuk melakukan aktiviti memancing di tempat-tempat memancing yang lebih selamat yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu. Antaranya di Taman Tasik Ampang Hilir, Tasik Prima Puchong, Tasik Permaisuri Cheras dan lain-lain.

Pilihlah tempat memancing yang terdapat ramai orang untuk keselamatan dan mudah untuk anda meminta pertolongan jika berlaku kecemasan.

Foto: Freepik

6. Berkemah

Aktiviti berkemah juga merupakan salah satu cara untuk anda mengurangkan tekanan dan melatih diri untuk bertenang dan dalam masa yang sama, menyelami dan menikmati keindahan alam semulajadi yang jauh dari kebisingan bandar. Anda boleh duduk bersendirian atau lakukan aktiviti perkhemahan bersama ahli keluarga. Seperti poin sebelum ini, pastikan lokasi yang anda pilih tidak jauh dari orang ramai atau sekurang-kurangnya anda berada di lokasi yang mempunyai 'line' telefon yang baik supaya mudah untuk anda menghubungi pihak yang berkenaan jika berlaku kemalangan atau kecemasan.

Foto: Freepik

Sambil berkhemas, ada banyak aktiviti yang anda boleh lakukan seperti membuat barbeque, mencuba memasak dengan menggunakan bahan-bahan dari alam semula jadi, melakukan aktiviti mendaki, berjalan kaki atau berjogging dan sebagainya. Duduk bersendirian tanpa membuat sebarang aktiviti pun tiada masalah. Asalkan anda dapat menikmati masa anda untuk merasa ketenangan.

Contoh lokasi menarik untuk anda lakukan aktiviti berkhemah ialah seperti The Wood Ulu Yam, Denai Kabus di Gerik, River & Glamp di Ulu Yam, GG Retreat Bukit Tasek Serendah di Serendah, Nakawan Base Camp, Bukit Air di Perlis, Hikers Paradise di Cameron Highlands dan banyak lagi. 

7. Menyelam

Menyelam adalah salah satu aktiviti yang sangat mencabar yang membawa anda ke alam bawah air yang sangat indah dan misteri. Aktiviti menyelam dapat menyaksikan kehidupan marin yang unik dan pemandangan bawah laut yang sangat menakjubkan. Tidak semua orang sukakan aktiviti menyelam kerana perasaan 'lemas' dan 'cemas' ketika berada di dalam air. Namun, aktiviti seperti ini sangat bagus untuk melatih diri menjadi lebih tenang, belajar untuk fokus dan mengawal perasaan cemas.

Foto: Freepik

Untuk aktiviti menyelam, pilihlah lokasi yang terbaik sebagai contoh Pulau Sipadan yang terkenal dengan terumbu karang. Selain itu, anda boleh ke Pulau Perhentian di Terengganu atau Pulau Tioman di Pahang

Atau terus terbang ke Great Barrier Reef, Australia yang juga terkenal dengan pemandangan terumbu karang yang spektakuler dan hidupan laut yang pelbagai. 

Apapun aktiviti yang anda lakukan dan di mana pun lokasi yang anda pilih, pastikan anda sentiasa berhati-hati dan sentiasa memantau keadaan cuaca semasa, elakkan berkunjung ke tempat-tempat peranginan ketika musim monsoon dan sentiasa dapatkan informasi dengan pihak berkuasa atau pihak profesional dan pihak pemilik sendiri tentang keadaan semasa atau pada tarikh yang anda inginkan. Dalam masa yang sama, tidak mengabaikan keselamatan.

Nota:

* Jika ada sebarang pembetulan/pindaan./tambahan terhadap penulisan di atas, boleh terus maklumkan di bahagian komen.


Post a Comment

Previous Post Next Post