Foto |
'Hampir saban tahun saya berdepan bencana banjir di kawasan ini dan ada kalanya berasa sangat penat,' luah mangsa banjir di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, di sini.
Abdul Malik Muhamad, 46, berkata, banjir yang berlaku pada kali ini adalah secara mendadak dan banyak barang tidak dapat diselamatkan kerana air memasuki rumah dengan begitu cepat.
"Air naik mendadak jam 5.30 pagi Isnin lalu sehingga berada pada paras kira-kira satu meter. Banyak juga barang-barang yang tenggelam dan tak sempat diselamatkan.
"Saya hanya fikirkan keselamatan ahli keluarga dan membawa mereka keluar dari rumah untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak," katanya.
Menurutnya, hampir lapan kali dia berpindah ke PPS sejak 2012.
"Setakat ini lebih kurang lapan kali tempat ini dilanda banjir iaitu pada 2012, 2014 (dua kali), 2016, 2017, 2018, 2020 dan terbaharu pada Disember tahun ini.
Katanya, perkara yang amat merunsingkan ialah apabila air begitu sukar untuk surut yang disebabkan oleh antaranya masalah aliran.
Seramai 1,200 penduduk di kawasan perumahan itu terjejas dan terpaksa dipindahkan ke dua buah PPS iaitu di SK Kompleks Gong Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak setelah banjir melanda kawasan perumahan itu sejak Isnin lalu.
Sementara itu, Norma, 41, tidak menjangka banjir kali ini turut menjejaskan rumahnya yang tidak berlaku pada tahun lalu.
Kata Norma, kawasan rumahnya mula dinaiki air jam 5.45 pagi tadi ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh.
"Saya jangka air tidak naik begitu tinggi kerana tahun lalu tidak berlaku, jadi saya pergi kerja seperti biasa dan pulang kembali ke rumah kira-kira jam 10 pagi kerana berasa tidak sedap hati.
"Waktu itu air mula masuk melalui pintu dapur sebelum pintu utama sehingga paras lutut orang dewasa.
"Disebabkan air masuk begitu cepat ke dalam rumah, saya bersama suami dan anak hanya sempat kemas barang-barang penting sahaja serta memindahkan kucing dan arnab peliharaan ke tempat lebih tinggi," katanya.
Menurutnya, beberapa barangan tidak sempat diselamatkan termasuk sebuah motosikal.
"Ada juga barang yang saya tidak sempat alih ke tempat yang lebih tinggi termasuk sebuah motosikal, namun saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya.
Post a Comment