Tiada keperluan Umno pujuk Ahli Parlimen pembangkang sokong PM

Foto - Bernama

Tiada keperluan bagi Umno untuk memujuk mana-mana Ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan mempunyai sokongan yang sangat kukuh dan stabil.

"Saya ingin menyatakan bahawa pihak pimpinan Umno tidak pernah memujuk sesiapa pun. Jika mereka (Ahli Parlimen Pembangkang) ingin menyokong, mereka melakukannya dengan sendirinya.

"Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan kepada saya untuk melakukan perkara seumpama itu kerana kami adalah sebuah kerajaan yang stabil dan kuat, dan tiada keperluan untuk kerajaan untuk 'mencari' sesiapa pun," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Takaful Masuk Kampung di sini hari ini.

Ahmad Maslan memberikan ulasan mengenai kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam yang mengatakan bahawa PN sedang mengumpulkan bukti berkaitan ugutan yang didakwa dilakukan terhadap Ahli Parlimen Pembangkang untuk menyokong Kerajaan Perpaduan. - BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post