Gaza: Parlimen Ireland dijangka usul usir duta Israel minggu depan

 


Dilaporkan, Ireland akan mengadakan undian tentang usul mengusir duta Israel minggu depan dan menuntut kerajaan negara itu menarik balik status diplomatik Dana Elrich.

Dalam usul itu juga mendesak supaya sekatan ekonomi dikenakan terhadap Israel dan membawa rejim itu ke mahkamah antarabangsa atas keganasan terhadap Gaza.

Pemimpin Demokrat Sosial Holly Cairns berkata, dunia dilihat mempunyai sikap bertentangan atau "ambivalen: terhadap penderitaan Gaza. 

"Usul kami menyeru kerajaan Ireland melobi bagi menggantung Perjanjian Persatuan EU-Israel kerana tidak mematuhi klausa hak asasi manusia dalam perjanjian perdagangan itu. EU juga harus menggantung akses Israel kepada 95 blion euro dana Horizon Europe untuk penyelidikan dan inovasi.

"Memandangkan kegagalan Israel untuk menghentikan serangan terhadap penduduk awam, wartawan, kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pekerja kesihatan, maka kerajaan mesti menarik balik status diplomatik Duta Israel ke Ireland," katanya.

Jurucakap hal ehwal luar Parti Sinn Fein berkata, Perdana Menteri Leo Varadkar sebelum ini menyifatkan kegagalan Israel untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan tidak boleh dipandang remeh. 

"Israel mesti bertanggungjawab kerana sengaja menyasarkan dan membunuh beribu-ribu orang awam, memusnahkan infrastruktur seperti hospital, sekolah dan masjid, memaksa penduduk berpindah dan menyekat bekalan air, makanan, bahan api dan bekalan penting yang lain kepada penduduk Gaza," katanya.

Menurutnya lagi, Ireland juga harus menggunakan hak sebagai negara pihak kepada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk merujuk tindakan Israel kepada pendakwa mahkamah bagi tujuan menyiasat tindakan jenayah dan penbunuhan beramai-ramai di Gaza sejak sebulan lalu.  - BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post