Ahli Parlimen Besut digantung tiga hari daripada Dewan Rakyat

Foto

Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh digantung tiga hari mulai hari ini daripada Dewan Rakyat kerana mengingkari arahan Timbalan Speaker Datuk Ramli Md Nor.

Ramli mengarahkan Che Mohamad Zulkifly keluar selepas dia berulang kali berdiri dan enggan duduk walaupun diberi amaran tiga kali.

Ia berlaku ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung penggunaan bahasa Inggeris dalam dua daripada empat rang undang-undang yang akan dibentangkan hari ini .

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat menjadi hangat pada satu ketika apabila Takiyuddin mempersoalkan mengapa dua daripada rang undang-undang itu menggunakan bahasa Inggeris manakala dua lagi rang undang-undang adalah dwibahasa.

"Kenapa ini berlaku? Adakah ini satu perubahan kepada amalan Parlimen?...ini bukan mahkamah yang peguam boleh berbahasa Inggeris sepenuhnya, tetapi ini Dewan Rakyat yang diikuti sepenuhnya oleh rakyat," katanya.

Ramkarpal yang bangun menjelaskan perkara itu selepas ditanya oleh Ramli berkata, ia tidak sepatutnya menjadi isu.

"Bagi Kanun Acara Jenayah dan Kanun Keseksaan, teks yang berautoriti adalah dalam bahasa Inggeris. Sebab itu kita bawa perkara ini dalam bahasa Inggeris, kita bukan main tipu...dan saya percaya timbalan menteri sebelum saya juga membawa perkara ini dalam bahasa Inggeris. ,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, dakwaan pembangkang berhubung isu itu adalah tidak wajar dan hanya cuba memburukkan Kerajaan Perpaduan.

RUU D.R 5/2023 Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 adalah versi yang 100 peratus sama dengan versi D.R 33/2022 yang dibentangkan dan diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Okt 2022 sebelum Parlimen dibubarkan pada Okt. 10, 2022.

"Ia dibawa balik kerana (pindaan) belum dibentangkan di Dewan Negara, itu sahaja. Saya minta pembangkang menjadi yang membina," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen.

- BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post