TPM: Anwar pertahan keputusan

Foto

DS Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dengan menegaskan beliau tidak boleh menolak kepentingan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam kerajaan perpaduan diketuainya. Lapor FMT.

Zahid yang berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dinamakan sebagai timbalan perdana menteri pada Jumaat lalu.

“Itu hak mereka,” kata Anwar ketika ditanya mengenai keputusan pelantikan itu.

“Beliau (Zahid) telah didakwa (di mahkamah) dan belum dihukum lagi, ia adalah proses yang perlu kita hormati.

“Beliau adalah presiden Umno dan juga pengerusi BN. Dalam keadaan (kerajaan perpaduan) seperti ini, saya perlu mengambil kira faktor itu,” katanya dalam sidang media.

Zahid memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan BN terhadap Anwar walaupun terdapat bantahan daripada sebilangan Ahli Parlimen gabungan itu yang berpegang pada resolusi parti yang tidak mahu bekerjasama dengan Anwar atau DAP.

Sebelum ini, NGO Bersih dan Rafidah Aziz menggesa ahli politik yang mempunyai kes di mahkamah tidak dilantik sebagai menteri.

Ahli Parlimen yang masih mempunyai kes di mahkamah termasuk Zahid, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.


Post a Comment

Previous Post Next Post