Lari bawa PATI warga Myanmar, suspek ditahan

Foto

Cubaan seorang tekong darat membawa lari 5 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar gagal selepas mereka ditahan pihak polis semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 6 petang, suspek berjaya dicekup selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya ditahan polis, berhampiran simpang kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas dikejar sejauh 15 kilometer.

Sebelum kejadian, sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan pemeriksaan ‘snap check’ di Jalan Gua Musang-Mentara Lama, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo.

Bagaimanapun, sebuah kereta telah membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan dan tindakan itu disedari oleh anggota polis.

“Anggota polis mengekori kereta suspek menghala ke bulatan Tanah Putih di sini sebelum melihat kereta tersebut dipandu secara melulu dan berbahaya selain melanggar lampu isyarat.

“Selepas 20 minit dikejar dan enggan berhenti, suspek tiba-tiba bertindak mengubah laluannya dengan memasuki simpang kuaters TNB,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden itu menyebabkan anggota polis tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum merempuh belakang kereta suspek dan terbabas ke dalam longkang.

Pemeriksaan tersebut telah menemukan seramai lima orang PATI warga Myanmar termasuk dua wanita berusia 16 hingga 42 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya.

Siasatan awal mendapati, suspek merupakan seorang penyeludup PATI dan menerima upah sebanyak RM250 untuk setiap seorang.

“Lelaki itu dipercayai mengambil kesemua PATI itu di sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang untuk dibawa ke Bentong, Pahang.

“Pemeriksaan ke atas suspek turut menjumpai pil kuda dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

- Kosmo


Post a Comment

Previous Post Next Post