Kementerian Pengajian Tinggi teliti cadangan wujudkan kertas putih ekonomi Islam

 

Foto - FB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengkaji dan menambah baik cadangan mewujudkan kertas putih berdasarkan perbincangan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Kewangan Islam (ICIEF) yang menyentuh tentang ekonomi dan kewangan Islam. 

"Kementerian akan memperhalusi cadangan pertimbangan kerajaan, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan model ekonomi baharu yang berpaksikan kepada ekonomi manusia yang mampan.

"Kertas putih ICIEF adalah salah satu cadangan, tetapi struktur dan sumbangannya untuk membentuk modal ekonomi baharu perlu diteliti terlebih dahulu.

"Sebelum membuat sebarang keputusan lanjut, kementerian akan meneliti kandungan dan cadangan yang dicadangkan untuk menentukan sama ada meneruskan kertas putih atau sebaliknya," katanya selepas persidangan ICIEF ke-15 itu.

Persidangan bertemakan "Memacu Agenda Ekonomi Kemanusiaan Mampan" itu dihadiri kira-kira lebih 500 orang peserta daripada 50 negara yang berlangsung di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. 

Ia diadakan dengan objektif untuk memberi tumpuan kepada strategi dan langkah ke hadapan untuk membangunkan ekosistem ekonomi dan kewangan yang lebih bersepadu, mampan dan berperikemanusiaan.

Zambry juga berkata kementeriannya akan terus menyokong penyelidikan kerjasama, terutama dalam ekonomi Islam dan sosial, yang mungkin terlepas pandang oleh industri perbankan.


Post a Comment

Previous Post Next Post