Piala Asia Qatar 2023: Malaysia kalah 0-4 kepada Jordan

 

Foto - FB AFC Asian Cup

Pada perlawanan pembukaan Piala Asia Qatar 2023 Kumpulan E, Malaysia gagal memberikan keputusan memberangsangkan apabila tewas 0-4 kepada pasukan Jordan di Stadium Al Janoub.

Sejak awal permainan lagi, Jordan telah menyebabkan benteng pertahanan Malaysia berdepan masalah besar apabila gerakan awal Jordan melalui hantaran lintang Yazan Al Naimat kepada Mousa Tamari telah memaksa penjaga gol Malaysia, Syihan Hazmi keluar untuk menggagalkan percubaan itu.

Pada minit ke 12, Jordan akhirnya menghukum benteng pertahanan Malaysia selepas Mahmoud Al Mardi meledak gol pertama hasil hantaran Yazan Al Naimat untuk menewaskan penjaga gol Malaysia.

Seperti pelajar baru memasuki sekolah, Malaysia terus 'dibuli' oleh Jordan yang berjaya memperoleh gol kedua hasil sepakan penalti Mousa Tamari. Sebelum itu, Yazan Al Naimat dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Matthew Davies dan Mousa langsung tidak memberi 'muka', mudah menewaskan penjaga gol Malaysia untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Sebenarnya pada minit ke-25, Jordan sekali lagi berjaya memperoleh gol hasil rembatan Mousa Tamari namun, mujurlah ia dibatalkan pengadil. Bagaimana pun, kelegaan Malaysia itu hanya bersifat sementara apabila Mahmoud Al Mardi menjaringkan gol ketiga buat Jordan pada minit ke-32. Semuanya bermula apabila Mousa Tamari yang tidak dikawal di sebelah kanan menghantar bola kepada Yazan Al Naimat dan mengembalikannya kepada Moahmoud Al Mardi untuk gol ketiga. 

Seprauh masa kedua Malaysia lebih banyak mengawal permainan, mungkin kerana Jordan sudah berada pada kedudukan selesa. Percubaan Stewart Wilkin pada jarak jauh minit ke-61 dan Romel Morales digagalkan penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila. 

Pada minit ke-63, Kim Pan Gon, jurulatih Malaysia membawa keluar Arif Aiman dan Romel Morales untuk digantikan dengan Paulo Josué dan Akhyar Rashid. Namun, pertukaran pemain itu masih tidak dapat mengubah kedudukan perlawanan.

Pada minit ke-80, Mohamadou Sumareh pula dibawa masuk untuk menggantikan Afiq Fazail dan Safawi Rasid pula menggantikan Faisal Halim tetapi pertukaran itu juga masih belum cukup untuk mengubah keputusan perlawanan. 

Sebaliknya, Jordan pula yang berjaya mendapatkan gol keempat untuk melebarkan kedudukan apabila Anas Al Wadat membuat hantaran jauh kepada Mousa Tamari yang mengawal bola dengan baik untuk menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-85.  

Keputusan penuh Jordan 4-0 Malaysia. 

Dari segi statistik perlawanan, Malaysia tidak kurang hebatnya berbanding Jordan. Malaysia melakukan 8 percubaan dan 3 percubaan tepat. Harimau Malaya juga mengawal bola 53% dan melakukan sebanyak 422 hantaran dengan 81% adalah hantaran tepat berbanding Jordan 398 hantaran dengan 74% hantaran tepat. Sepanjang perlawanan Harimau Malaya memperoleh 4 sepakan penjuru manakala Jordan pula 3.

Berdasarkan kepada statistik perlawanan menentang Jordan, sebenarnya Malaysia mampu memberikan keputusan yang baik. Apapun, diharapkan akan ada kebangkitan buat Harimau Malaya pada perlawanan seterusnya menentang Bahrain pada hari Sabtu ini jam 5.30 petang (Waktu Qatar) atau 10.30 malam (Waktu Malaysia).

Jordan pula akan bertemu Korea Selatan pada hari yang sama, jam 7.30 malam waktu Malaysia atau 2.30 petang waktu Qatar.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, 'Abang Besar' asia, Korea Selatan berjaya menewaskan Bahrain 3-1 untuk mengumpul 3 mata penuh. Jordan dan Korea Selatan kini berkongsi 3 mata masing-masing di tempat pertama dan kedua setakat ini. 

Untuk aksi Kumpulan D, satu lagi pasukan Asia Tenggara, Indonesia tewas kepada Iraq, 3-1.

Post a Comment

Previous Post Next Post