FELDA: Peneroka mahu sistem pembayaran sedia ada

Foto

Peneroka Lembaga kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Bukit Goh mahu kaedah pembayaran secara tunai bagi penjualan buah sawit melalui koperasi diteruskan berbanding melalui akaun bank secara bulanan. Lapor Sinar Harian. 

Rata-rata mereka seramai 671 itu mengakui tidak bersetuju dengan kaedah pembayaran secara perbankan yang akan dilaksanakan Januari tahun hadapan.

Peneroka, Mohd Nazar Mialam, 81, berkata, pembayaran secara perbankan dilihat akan menyusahkan dan terpaksa menunggu hampir sebulan untuk menerima wang tunai.

Peneroka memberitahu, tunai segera diperlukan untuk membayar sewa lori dan kos upah buruh .

"Kalau (bayaran) masuk bank susah, saya sudah berusia terpaksa keluar ke bandar untuk mendapat duit. Situasi ini sebenarnya menyukarkan kami.

"Jadi, kami minta supaya Felda kekalkan sistem yang sedia ada, kami jual buah sawit di kilang, kami boleh mendapatkan duit secara tunai di koperasi Felda dan ini memudahkan," katanya.

Nik Abdul Majid Nik Sin, 80, juga menyuarakan pandangan yang sama dengan Mohd Nazar.

Menurutnya, kebanyakan ladang diuruskan generasi kedua dan sudah pasti menimbulkan masalah sekiranya pembayaran dibuat melalui akaun perbankan.

Katanya lagi, ramai peneroka asal sudah tidak mampu menguruskan ladang malah ada juga yang sudah meninggal dunia.

"Apabila hasil jualan dimasukkan ke dalam akaun ini akan menyusahkan anak-anak peneroka untuk mendapatkan wang. Ini kerana kebanyakan penama ladang masih lagi atas bapa mereka.

"Situasi ini akan merumitkan segelintir peneroka. Jadi atas sebab itu kami mahu Felda dapat kekalkan kaedah yang sedia ada. Kami sudah dicukup selesa dengan cara begini dan tidak membebankan kami," ujarnya yang mewakili suara peneroka di kawasan itu.

Jefri Salim, 45, memberitahu, pengurusan Felda perlu mengadakan sesi dialog dengan semua peneroka termasuk generasi kedua Felda bagi mendengar pandangan dan keluh kesah mereka supaya dapat gambaran jelas tentang kaedah yang dipersetujui oleh peneroka.

"Kita akui bila duit masuk akaun tiada ketirisan tetapi perlu dilihat daripada pelbagai sudut lain termasuk akaun bank siapa yang akan dimasukan wang, sedangkan yang menguruskan ladang adalah generasi kedua.

"Malah, kemasukan wang melalui akaun yang mengambil masa sehingga sebulan memberi kesan kepada peneroka. Bagaimana mereka hendak bayar upah pekerja, sewa lori sedangkan mereka memerlukan segera pembayaran daripada peneroka?" katanya.

Menurutnya, pekerja-pekerja tidak mahu menunggu sehingga hujang bulan untuk menerima upah mereka.

"Apabila bayar upah lambat mereka tidak lagi mahu bekerja dengan peneroka dan hampir 90 peratus peneroka bergantung kepada pekerja-pekerja asing untuk mengambil buah sawit serta menghantar ke kilang," ujarnya.

Mat Zahari Deraman, 74, cara pembayaran tunai telah lama digunakan melalui koperasi dan tindakan Felda untuk menukar keadah pembayaran melalui perbankan itu menimbulkan keresahan kepada peneroka.


Post a Comment

Previous Post Next Post