Friday, July 21, 2017

Persediaan Sebelum Membina Rumah Kediaman atau Bangunan Secara Ringkas

Ingin memiliki rumah itu adalah perkara biasa sama ada anda memiliki rumah dengan rekabentuk perunding sendiri atau rumah yang sudah siap dibina. Begitu juga sama ada untuk kegunaan sendiri atau pun untuk kegunaan orang lain. Apapun, sebelum merancang untuk membuat binaan, kita seharusnya mengambil tahu tentang saiz dan ukuran tanah yang sedia ada. Kemudian, barulah kita mengambil kira tentang keluasan rumah yang mahu dibina berdasarkan kepada keluasan tanah yang kita miliki. Sebab itu, adalah penting supaya anda mendapatkan perkhidmatan arkitek dan pelukis pelan sebelum anda memulakan binaan.

Jika kita mempunyai keluasan tanah sekitar 600 meter persegi iaitu lebih kurang 6400 kaki persegi. Jadi, adakah keluasan rumah yang mahu kita bina itu mestilah mempunyai keluasan sekitar itu? Tidak. Ianya akan menjadi lebih kecil lagi daripada keluasan tanah sedia ada. Keluasan ruang yang dapat kita bina itu ialah mungkin di antara 2000-3000 kaki persegi. Mengapa? Ini kerana, jumlah ini diambil kira setelah ditolak jumlah anjakan hadapan, kiri, kanan dan juga jarak bahagian belakang. Anjakan itu ialah jarak di antara garisan sempadan lot hingga kepada dinding bangunan seperti dimaksudkan di bawah:

A. Jika ada lot bersebelahan
  1. Anjakan 20 kaki dari garisan sempadan lot hingga ke dinding hadapan bangunan
  2. Anjakan 10 kaki dari garisan sempadan lot hingga ke kiri, kanan dan belakang bangunan
Rajah 1.1

* Nota : Kotak merah adalah ruang yang dibenarkan untuk buat binaan


B. Jika lot yang bersebelahan jalan
  1. Anjakan 20 kaki dari garisan sempadan lot yang bersebelahan jalan hingga ke dinding bangunan
  2. Anjakan 20 kaki dari garisan sempadan lot hadapan hingga ke dinding bangunan hadapan
  3. Anjakan 10 kaki dari garisan sempadan lot yang bersebelahan lot lain hingga ke dinidng bangunan
Rajah 1.2

* Nota : Kotak merah adalah ruang yang dibenarkan untuk buat binaan

Membuat binaan betul-betul mengikut keluasan tanah dengan alasan kawasan kampung adalah satu tindakan yang salah. Bagitu juga untuk membina sekolah agama atau membina bangunan asrama. Ia satu tindakan yang tidak betul. Apa sekali pun binaan tersebut, undang-undang harus dipatuhi supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Begitu juga dengan cadangan pelan lantai bangunan itu sendiri. Jangan terlalu memikirkan tentang jumlah unit maksima yang boleh dibina, dan jumlah keuntungan yang boleh diperolehi tetapi perlulah mengikut kepada kesesuaian keluasan tanah. Jangan sesekali membuat bangunan tetapi tidak memikirkan tentang keselamatan dan keselesaan pengguna seperti ruang yang terlalu kecil, saiz yang tidak sesuai, laluan keluar masuk di dalam rumah yang kecil, lebar tangga tidak mengikut saiz yang betul dan banyak lagi. Paling tidak masuk akal ialah ruang koridor dengan saiz hanya 2 kaki sahaja. Kemudian, rumah 3 bilik tidur tetapi semua ruang di dalamnya terlalu kecil. Yang akhirnya, akan menyebabkan pengguna berasa tidak selesa termasuklah keselamatan pengguna juga akan terjejas.

Fikirkan 2 perkara ini sebelum terus membuat rumah kediaman atau bangunan.
  1. Keselamatan
  2. Keselesaan
Walaupun, rumah kediaman itu hanya untuk disewakan, keselesaan dan keselamatan pengguna mestilah diutamakan. Jika tidak, ianya hanya sekadar mengaut keuntungan manakala penggunanya pula 'terseksa'. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini semua pihak akan menuding jari ke arah orang lain. Jika tidak memikirkan tentang 2 perkara ini dari peringkat awal, dan undang-undang tidak mahu dipatuhi, apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, anda juga yang akan menanggung kerugian dan juga menanggung kesalahannya.

0 comments: