Puskas Award 2016 | Kejayaan Mohd Faiz Subri adalah Kejayaan Individu

Tahniah kepada Mohd. Faiz Subri atas kemenangan beliau di dalam anugerah FIFA Puskas 2016. Secara ringkasnya, Kejayaan Mohd Faiz Subri ini sudah tentulah menjadi satu kejayaan paling membanggakan dan paling bermakna buat dirinya. Dan rata-rata rakyat Malaysia amat berbangga dengan kemenangan beliau. Bagaimanapun, harus diingat, kejayaan beliau ini merupakan kejayaan peribadi sahaja. Sudah tentu beliau berhak memenanginya dan meraikannya. Itu adalah rezeki beliau. Dengan kejayaan beliau ini, beliau dapat duduk sebaris dengan pemain-pemain dari seluruh dunia. Anugerah yang menjadi sejarah buat dirinya ini bermula dengan sepakan percuma yang secara tiba-tiba tidak disangka-sangka melencong ke arah yang berlainan. Sepakan itu berjaya memukau peminat bola sepak seluruh dunia. Jaringan pelik Mohd Faiz Subri ini mungkin lebih kepada nasib. Atau memang beliau ada teknik cuma hari itu tidak disangkakan menjadi pula.

imej via espnfc.com

Beliau bukanlah membawa nama pasukan Malaysia, tetapi beliau membawa nama beliau sendiri dan sekaligus nama Malaysia terpahat di persada antarabangsa dalam dunia bola sepak. Hakikat yang perlu kita terima ialah kemana bola sepak negara kita ketika ini? Masih jauh ketinggalan. Berapakah ranking atau kedudukan bola sepak negara kita? Kejayaan Mohd Faiz Subri ini tidak memberi kesan pun kepada kemajuan dan pembangunan bola sepak negara kita. Takkanlah Malaysia mahu melahirkan pemain-pemain yang berjaya menjulang trofi anugerah Puskas atau anugerah-anugerah kecil saja? Bagaimana dengan kejohanan yang besar? Takkanlah kita mahu katakan kejayaan Faiz dalam Puskas 2016 ini adalah titik permulaan kepada Malaysia menjadi negara hebat? Dan takkanlah kita sudah mula 'perasan' bahawa negara kita sudah setanding dengan negara-negera besar dalam dunia bola sepak?

Tunggu dulu. Ada banyak lagi perubahan yang perlu dilakukan. Banyak perkara yang perlu dibaiki untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang harus disegani dalam dunia bola sepak. Kita mahukan pemain-pemain negara duduk dalam anugerah dan kejohanan besar seperti seorang jaguh. Bukan seperti seorang 'budak yang malu-malu' dan tersipu-sipu apabila berada dikancah antarabangsa. Masih jauh sebenarnya.

Cukuplah Faiz bersama keluarganya meraikan dan berbangga dengan kemenangan itu. Tak perlulah kita yang lain ini terlalu memuja dan memuji sehingga terlupa yang bola sepak negara kita secara keseluruhannya sudah ketinggalan zaman. Jangan pula penyokong dan rakyat Malaysia pula yang leka dan masih terbuai dengan kejayaan Mohd Faiz ini. Ingat ya, itu kejayaan Faiz. Pemain lain bagaimana? Kita pula bagaimana? Jadikan lah kejayaan Faiz ini sebagai inspirasi untuk cipta kejayaan diluar jangkaan dalam apa perkara sekalipun.

Yang pasti, kemenangan Mohd Faiz Subri dalam Puskas Award 2016 sudah pun melakar sejarah baru dalam dunia bola sepak.


Comments

Popular posts from this blog

A Simple Step to Fix Insufficient Storage Available on Android

Software Review: Membina 3D dengan Google Sketchup

Wifi | Alat Sambungan Internet Wifi TPLINK TL-WN727N