Isu Politik:Perlu Berani Untuk Berubah

Perlu berani untuk berubah

Untuk mencapai sesuatu yang lebih baik perlu ada keberanian dalam diri. Baik dalam diri mahupun secara berkumpulan. Malah berubah itu suatu yang dituntut di dalam Islam itu sendiri iaitu berubah menuju kebaikan. Daripada tidak bersolat berubah menjadi seorang yang menjaga solat. Dari seorang yang malas berubah menjadi rajin. Dari duduk di takuk lama kepada takuk yang baru. Begitu juga di dalam sesebuah perniagaan memerlukan perubahan agar perniagaan lebih maju. Termasuklah juga di dalam sesebuah organisasi. Perlukan kepada perubahan agar matlamat suatu organisasi atau suatu institusi itu boleh dicapai sama ada berjaya mencapai matlamat atau mencapai lebih daripada itu.

Kalau diambil kira semuanya memerlukan kepada perubahan atau pembaharuan. 

Di dalam sesebuah organisasi sudah tentunya membuat perubahan adalah sangat penting. Perubahan dari pelbagai segi. Bermula dari pimpinan, idea, cara kerja, cara berfikir, cara membuat perancangan dan sebagainya.

Jika seorang pemimpin itu dikira-kira gagal dalam melaksanakan tugasnya sebagai pemimpin, dia harus ditukar. Sama ada pemimpin itu sendiri mengundur diri atau pun ditukar berdasarkan pemilihan ahlinya. Walaupun seorang pemimpin itu seorang yang baik, tinggi pengetahuannya, warak tetapi jika dia gagal menjadi seorang pemimpin maka jika ada yang layak, dia perlu ditukarkan kepada yang memiliki kebolehan, berpengaruh dan berpandangan jauh. 

Jangan takut untuk berubah. Kerana selagimana tujuan perubahan itu mahu membawa ke arah kebaikan maka ianya mesti dilakukan. Memang agak sukar untuk diterima jika orang yang selama ini dihormati, tinggi ilmunya, sudah lama memegang sesuatu pimpinan tiba-tiba pula perlu ditukar kepada pimpinan yang baru. Akan tetapi demi mencapai sesuatu yg lebih baik, ia perlu dilihat dari sudut yang positif dan terbuka. Apalah gunanya jika seorang pemimpin itu hebat, memiliki ilmu tetapi tiada apa apa parubahan berjaya dilakukannya. Tiada pembaharuan dapat dilaksanakan malah menimbulkan pula salah faham dikalangan orang yg dipimpinnya.

Membuat perubahan bukan sahaja terletak kepada suatu pimpinan itu sendiri malah dikalangan ahli juga perlu memainkan peranan. Dalam erti kata lain, ahli-ahli juga perlu berfikiran terbuka dalam menerima perubahan asalkan ianya tidak melanggar  hukum agama. Dan kerana sukar terima dengan suatu perubahan itulah adakalanya ia tidak dapat melihat sesuatu yang lebih baik malah peluang yang sudah terhidang dihadapannya pun dia tidak dapat menghidunya. Akhirnya, lidah terkedu melihat orang lain jauh dihadapan.

Menuntut suatu perubahan itu bukan bermakna ia menghina, memperlekeh dan tidak menghargai sesuatu itu. Tidak juga bermakna untuk tujuan merosakkan tetapi ia bertujuan untuk melompat dari suatu yang lama kepada suatu yang baru. Kereta lama perlu ditukar kepada kereta yang baru kerana lebih cepat, lebih stabil dan lebih nampak menarik. Begitulah juga dalam suatu kepimpinan. Perlukan idea-idea yang baru, cepat berfikir, cepat bertindak, terbuka dan berfikir untuk suatu yang lebih baik bukan sahaja untuk barisan pimpinannya malah untuk ahli-ahlinya.

Oleh kerana tidak mahukan kepada perubahan, jangan pula menjadikan suatu organisasi itu berpuak-puak atau hanya untuk kumpulan tertentu sahaja seperti mengkhususkan suatu kumpulan itu hanya untuk golongan yang memiliki pendidikan di dalam bidang agama sahaja atau hanya untuk golongan professional sahaja. Tetapi, cara yang terbaik adalah menggabungkan antara keduanya dan pilihlah dikalangan mereka yg dikira layak memimpin selagi ianya memberi banyak manfaat kepada suatu organisasi itu.

Tiada salahnya juga jika pimpinan yang ditukar itu bukan dari kalangan mereka yang memiliki pendidikan di dalam bidang agama kerana jika yang dilantik itu seorang yg sayang dan cintakan agama, agresif, cepat bertindak, sentiasa mencari idea yang baru, merancang untuk mencapai kejayaan, berani berubah, sentiasa mengamalkan amalan berbincang dia tetap layak untuk dipilih sebagai pemimpin. Apa yg penting sebenarnya ialah berani atau tidak untuk membuat perubahan. Jika tidak berani dan terlalu taksub dalam sesuatu perkara itu, percaya atau tidak apa yang ingin dikecapi itu tidak dapat dicapai dengan jayanya. Wajarkah suatu organisasi itu terus diwujudkan jika tiada matlamat yg jelas? Wajarkah perjuangan itu diteruskan jika rela menerima kekalahan berbanding menerima perubahan untuk mencapai kejayaan?

Oleh sebab itulah, semua pihak harus bersikap terbuka. Menerima perubahan dan menerima pandangan masing-masing tidak kiralah dari kelompok mana sekali pun demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Seseorang pemimpin itu bukanlah seorang pemimpin yang baik jika ahlinya bercakaran dan saling menuding jari antara satu sama lain malah sikap saling hormat menghormati juga tidak lagi tertanam dalam jiwa mereka.

Beranilah berubah untuk kebaikan bukan berani berubah ke arah kehancuran!


Comments

Popular posts from this blog

A Simple Step to Fix Insufficient Storage Available on Android

Software Review: Membina 3D dengan Google Sketchup

Wifi | Alat Sambungan Internet Wifi TPLINK TL-WN727N