Isu Gimnastik:Teguran dan Nasihat Itu Satu Kewajipan

Isu membabitkan aurat terhadap seorang ahli sukan gymnastics negara di acara sukan Sea Singapura baru-baru perlu diambil berat oleh semua lapisan masyarakat terutama sekali umat Islam. Tidak kira dari pucuk pimpinan sehinggalah rakyat biasa. Mendedahkan aurat di dalam sukan gymnastics ini bukanlah isu baru, ia sebenarnya isu yang sudah lama. Bukan sahaja di dalam sukan gimnastik, malah sukan-sukan lain pun yang mendedahkan aurat adalah suatu perkara yang harus dipandang serius lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan peserta dari kalangan umat Islam. Begitulah juga di dalam bidang-bidang yang lain. Kerjaya, belajar, berlakon, menyanyi dan sebagainya.


Isu menegur dan menasihati seorang ahli sukan tentang auratnya ini hanyalah salah satu isu dari banyak isu yang terlalu banyak seolah-olah tiada penyelesaian dan nampaknya seperti tidak diambil berat oleh pihak-pihak tertentu. Apabila ramai yang menegur ahli sukan berkenaan dan ramai pula yang mengambil bahagian, itu suatu perkembangan yang sangat sihat dan sangat positif malah bertepatan dengan apa yang disarankan oleh agama Islam itu sendiri. Ini bermakna, isu aurat terdedah ini semakin ramai yang ambil peduli tidak kira siapa pun mereka. Dalam erti kata lain, isu ini tidaklah hanya diserahkan tanggungjawab itu bulat-bulat hanya kepada pihak tertentu sahaja seperti Majlis Agama, Jabatan Agama, ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah tetapi ianya menjadi tanggungjawab bersama umat Islam dalam memberi teguran kepada mana-mana pihak atau individu yang melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Agama Islam itu sendiri. Ini petanda yang baik!

Namun, masih ada lagi pihak tertentu yang melihat isu tegur menegur ini satu amalan yang negatif. Ada yang mempersoalkan diri orang yang menegur itu juga sebagai seorang masih belum sempurna dan tidak layak untuk menegur orang lain. Ada juga yang berpendapat, isu lain banyak yang boleh ditegur, kenapa isu ahli sukan ini pula yang ditimbulkan. Sehingga ada juga yang berkata, itu antara si pelaku dengan Tuhan, orang lain tiada hak untuk menegur. Ini satu pandangan yang salah!

Di dalam Islam, memberi teguran itu menjadi satu kewajipan kepada setiap umat Islam. Tidak perlu menunggu untuk menjadi seorang yang 'alim, berilmu, warak, atau belajar agama sehingga peringkat yang tinggi baru layak untuk memberi nasihat dan teguran. Tiada penetapan tertentu untuk itu. Semuanya bertanggung jawab. Dan ianya juga perlu dilakukan secara menyeluruh bukan terhadap isu-isu tertentu sahaja. Bukan juga tidak boleh membuat teguran terhadap sesuatu isu itu (ahli gymnastics) kerana dengan alasan ada banyak lagi isu yang lain yang lebih besar. Sebenarnya, semua isu yang bercanggah dengan agama, dan ianya dilihat jelas di depan mata, tidak kira ianya besar mahupun kecil, maka ianya menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk memberi teguran dan nasihat. 

Setiap teguran dan nasihat itu adalah bertujuan untuk menambahbaik, membetulkan yang salah dan untuk memperbaiki mana-mana perkara yang dilihat telah menyalahi hukum agama Islam terutamanya, jika si pelaku itu beragama Islam. Ini demi menjaga bukan sahaja maruah si pelaku itu sebagai umat Islam malah juga turut menjaga dan memlihara agama Islam itu sendiri. Adakah kita hanya mahu menunggu menjadi baik baru boleh dan layak membuat teguran? Kalau begitu, sampai bila-bila pun tiada siapa yang layak memberi teguran kerana di dunia ini tiada seorang pun yang benar-benar baik. Akhirnya, makin ramai lah jauh tersasar dari kebenaran dan terus menerus melakukan perkara yang bercanggah dengan agama Islam. Begitu juga, bukan pihak tertentu sahaja yang layak seperti hanya jabatan agama atau majlis agama kerana mereka juga mungkin terlepas pandang. Namun begitu, sudah tentulah pihak-pihak yang dilantik seperti mereka yang terdiri daripada jabatan agama atau majlis agama, tanggungjawabnya itu lebih besar. Tidak bolehlah lepas tangan atau tutup mata seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab. Orang yang belajar agama sudah tentu tanggungjawabnya lebih besar daripada mereka yang tidak belajar agama. Orang yang mengetahui hukum hakam, sudah tentulah tanggungjawab mereka juga lebih besar berbanding mereka yang tidak tahu. 

Mudah-mudahan amalan tegur menegur ini dapat terus dilakukan demi menjaga dan memperbetulkan umat Islam serta dapat memelihara agama Islam itu sendiri daripada tercemar. Bagaimanapun, cara menegur itu biarlah dengan cara yang baik iaitu dengan tidak menggunakan kata-kata yang kasar, kata-kata yang kesat, caci maki yang akhirnya akan memberi kesan dan pandangan yang buruk semula kepada umat Islam. Semoga, usaha yang baik ini dapat memberikan kesan yang positif dan perubahan kepada si pelaku seterusnya menjadi seorang yang lebih baik.


Comments

Popular posts from this blog

A Simple Step to Fix Insufficient Storage Available on Android

Software Review: Membina 3D dengan Google Sketchup

Wifi | Alat Sambungan Internet Wifi TPLINK TL-WN727N